Saudara Muhammad Azmi menyebutkan di dalam status facebooknya bertarikh 23.3.2021: 


Beliau merujuk video saya di YouTube yang bertajuk: "Saya dituduh Ahli Neraka". Dimuatnaik pada tarik 19 Mac 2021. 


Berikut ini adalah jawapan saya:

1. Beliau berkata: "Pemuda ini menghina kitab sahih al-bukhari??" 

Ulasan: Dimana anda temui kenyataan menghina sahih al-Bukhari? Adakah salah apabila saya katakan bahawa: Al-Quran sahaja, yang ada dalam tu semuanya betul. Semuanya kita terima dan wajib terima. Selain daripada buku tu. Masih kena nilai. Walaupun buku ini. Sahih al-Bukhari"

Adakah anda mahu saya kata, Sahih al-Bukhari lebih tinggi darjatnya daripada al-Quran? Atau setaraf dengan al-Quran? Mustahil! Saya tidak akan katakannya!

2. Beliau berkata: "serta memfitnah imam al-bukhari?"

Ulasan: Kenyataan ini perlu dibaca bersama kenyaan berikutnya. Kerana di situlah yang dia jadikan seolah-olah bukti bahawa saya telah memfitnah Imam al-Bukhari. 

3. Beliau berkata: "Sy tk kenal pemuda dibawah ni. Tetapi saya cabar dia jika dia BERANI dan BENAR untuk kemukakan kata² Imam Bukhari yg menyebut "hadis ini hadis yg dhoif hadis ini adalah hadis yg bermasalah". 

Ulasan: Tidak mengenali saya, tiada masalah. Kerana saya juga tidak minta saya dikenali. Saya hanya berharap dengan kerja yang saya lakukan, Allah akan kenali saya pada hari Akhirat. 

Saya bertanggungjawab dengan kenyataan saya sendiri. Saya akan berikan ulasan terhadap komen ini selepas habis menyebutkan mesej beliau.

4. Beliau berkata: "Pada sisi kitab sahih al-bukhari, Imam Bukhari sendiri mengakui yg beliau memasukkan dlm kitab beliau hanya hadis yg sahih sahaja : 

ما أدخلت في كتابي الجامع إلا ما صح 

"Tidaklah aku memasukkan dalam kitabku (sahih al-Bukhari) kecuali hadis yg sahih sahaja".

 -(تيسير المطلح الحديث) 

Oleh itu ulama menjelaskan : jikalau ada yg mengkritik dan berkata bahawa Imam Bukhari memasukkan dlm kitab beliau hadis yg tidak sahih, maka kata² itu ditolak sama sekali.! Kerana berlawanan dngan apa yg Imam Bukhari katakan. 

-(الحطة في ذكر الصحاح الستة) 

Semoga Allah memberkati kita.  Dan menjauhi diri kita dari memfitnah mana² ulama.  Amin.."

Ulasan: Pujian para ulama ahlus sunnah terhadap Sahih al-Bukhari bukan sedikit. Bahkan sangat banyak. Saya sendiri sentiasa mendahulukan sahih al-Bukhari dalam setiap kajian, ceramah dan rujukan. 

Buku saya berjudul “Israk Mikraj: Antara Ketulenan Wahyu dan Pemalsuan Sejarah” merekodkan cerita yang hanya diambil daripada Sahih al-Bukhari dan Muslim. Pada tahun 2011, saya tulis buku Lateral al-Bukhari yang memperkenalkan Imam al-Bukhari serta 50 kisah menarik yang ada di dalam buku Sahih al-Bukhari.

Jadi, bagaimana anda mahu mengatakan seolah-olah saya mahu menfitnah Imam al-Bukhari yang saya kasih dan sangat sayang?

Bahkan, saya sangat kecewa apabila tanah Melayu kita di Malaysia ini belum memiliki terjemahan Sahih al-Bukhari yang lengkap. Oleh itu, bermula penghujung 2019, saya telah menubuhkan tim terjemahan Sahih al-Bukhari bahasa Melayu Malaysia. 

Pada Disember 2020, siap terjemahan lengkap. Tetapi apabila saya membuat semakan satu persatu, saya dapati banyak kesilapan terjemahan berlaku. Lalu saya padam semua terjemahan itu dan memulakan semula terjemahan Sahih al-Bukhari secara bersendirian. 

Saya habiskan waktu untuk menterjemah dengan panduan Syarah Sahih al-Bukhari iaitu Fathul Bari. Kerana saya bimbang menterjemahkan tidak sesuai dengan yang dikehendaki oleh hadis. Sehingga usaha al-Imam al-Bukhari tidak sampai dengan lengkap ditangan kita.

Mohon doakan semoga kerja ini berjaya siap dengan segera. 

Oleh itu, mendakwa saya memfitnah Imam al-Bukhari tidaklah tepat. Yang tepat ialah saya memposisikan setiap buku dan rujukan pada tempatnya. 

5. Dimanakah Imam al-Bukhari mengatakan hadis ini tidak sahih? 

Tempat pertama: Anda boleh rujuk kitab Azan, bab ‌‌بَابُ مُكْثِ الإِمَامِ فِي مُصَلَّاهُ بَعْدَ السَّلَامِ (Bab: Imam duduk sebentar di tempat solat selepas memberikan salam). Pada bilangan ke 848 menurut penomboran Syeikh Fuad Abdul Baqi, rekod Imam al-Bukhari: 

وَقَالَ لَنَا آدَمُ: حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ أَيُّوبَ، عَنْ نَافِعٍ، قَالَ: كَانَ ابْنُ عُمَرَ: «يُصَلِّي فِي مَكَانِهِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ الفَرِيضَةَ وَفَعَلَههُ القَاسِمُ» وَيُذْكَرُ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَفَعَهُ «لَا يَتَطَوَّعُ الإِمَامُ فِي مَكَانِهِ وَلَمْ يَصِحَّ»

Adam mengatakan kepada kami, Syu`bah cerita kepada kami, daripada Ayub, daripada Nafi`, katanya: Ibnu Umar pernah solat sunat di tempat yang biasa dia solat Fardhu. Dan hal itu juga dilakukan oleh al-Qasim. Dan disebutkan dari Abu Hurairah - dan beliau memarfu`kan kepada Nabi (iaitu mengatakan bahawa ia adalah Sabda Nabi): "Imam tidak boleh solat sunat di tempat dia solat fardhu." IA TIDAK SAHIH. 

Ulasan: Dalam Fathul Bari, jilid kedua, halaman 422, cetakan maktabah al-Taufiqiyyah, Imam Ibn Hajar berkata: 

هُوَ كَلَامُ الْبُخَارِيِّ وَذَلِكَ لِضَعْفِ إِسْنَادِهِ وَاضْطِرَابُهُ تَفَرَّدَ بِهِ لَيْثُ بْنُ أَبِي سُلَيْمٍ وَهُوَ ضَعِيفٌ

Ia adalah kenyataan al-Bukhari kerana kedhaifan isnad dan mudhtarib. Lais bin Abi Salim meriwayatkan secara bersendirian sedangkan dia ialah seorang perawi yang Dhaif. 

Bahkan An-Nawawi berkata tentang hadits ini :

وَاتَّفَقُوا عَلَى ضعفه، وَمِمَّنْ ضعفه البُخَارِيّ فِي ” صَحِيحه “.

“Dan mereka bersepakat atas dha’ifnya hadits ini, dan termasuk yang mendha’ifkannya adalah Al Bukhari di dalam sahihnya” (Khulashah Al Ahkam, An-Nawawi, 1/474)

Tempat kedua: Anda boleh rujuk kitab “كِتَابُ الهِبَةِ وَفَضْلِهَا وَالتَّحْرِيضِ عَلَيْهَا” – Hadiah, kelebihan serta anjuran memberikannya, bab “‌‌بَابُ مَنْ أُهْدِيَ لَهُ هَدِيَّةٌ وَعِنْدَهُ جُلَسَاؤُهُ، فَهُوَ أَحَقُّ” – Bab Sesiapa yang diberikan hadiah ketika ada orang lain bersamanya, maka dia lebih berhak menerima hadiah itu.

Imam al-Bukhari merekodkan: 

وَيُذْكَرُ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ: «أَنَّ جُلَسَاءَهُ شُرَكَاءُ» وَلَمْ يَصِحَّ "

Dikatakan daripada Ibn Abbas: Orang lain yang bersamanya adalah rakan kongsinya. Ia tidak Sahih. 

Kata-kata “Ia tidak Sahih” ialah kata-kata Imam al-Bukhari. Imam Ibn Hajar sebut:

ه قَالَ الْعُقَيْلِيُّ لَا يَصِحُّ فِي هَذَا الْبَابِ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْءٌ

Al-`Uqaily berkata: Dalam bab ini tiada hadis yang Sahih daripada Nabi SAW. 

Wallahualam.

Penutup

Dengan memberikan ulasan balas ini, bukan menunjukkan saya BERANI atau BENAR tetapi saya hanya berusaha bertanggungjawab terhadap kata-kata saya. Jika benar saya telah tersilap dalam menyebutkan apa-apa kenyataan, saya pasti akan menariknya serta merta. 

Kerana pada saya, kebenaran adalah lebih utama daripada nama seorang Syihabudin Ahmad – yang anda tidak kenali.