Selepas al-quran, hadis ialah gedung ilmu yang menjadi sandaran bagi setiap guru dalam mengajar, panutan penceramah dalam penyampaiannya serta tunjang khatib dalam pidatonya. Tiada seorang muslimpun yang mampu menafikan hal ini melainkan dia tidak mempunyai asas ilmu pengajian Islam yang formal.

Hadis adalah adalah panutan yang telah disepakati dalam mencari jalan-jalan suluk, penyucian jiwa, sepertimana ia adalah sandaran di dalam hukum, fiqh ibadat dan muamalat.

Oleh itu, ulama suluk, rijal tarbiyyah ruhiyyah, Syuyukh Tasawwuf yang dulu-dulu telah bersepakat bahawa setiap salik atau anggota tarikat hendaklah berpegang teguh kepada Hadis dalam pemikirannya, ibadatnya serta jalan suluknya.

Abu Nu`aim al-Asbahani (430H) telah merekodkan kata-kata Al-Imam al-Junaid al-Baghdadi rahimahullah di dalam kitabnya Hilyatul Awliya’ Wa Tabaqatul Asfiya’:

«‌الطُّرُقُ ‌كُلَّهَا ‌مَسْدُودَةٌ عَلَى الْخَلْقِ إِلَّا مَنِ اقْتَفَى أَثَرَ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , وَاتَّبَعَ سُنَّتَهُ وَلَزِمَ طَرِيقَتَهُ , فَإِنَّ طُرُقَ الْخَيْرَاتِ كُلَّهَا مَفْتُوحَةٌ عَلَيْهِ»

Kesemua jalan tarikat telah tertutup bagi makhluk melainkan yang mengikuti kesan peninggalan Rasulullah SAW, mengikuti sunnah baginda serta melazimi jalan tarikatnya. Kerana semua jalan kebaikan hanya terbuka penuh kepadanya.

Di dalam Risalah Al-Qusyairiyyah, direkodkan bahawa Imam Al-Junaid rahimahullah berkata:

مَنْ لَمْ يَحْفَظِ الْقُرْآنَ وَلَمْ يَكْتُبِ الْحَدِيثَ ‌لا ‌يُقْتَدَى ‌بِهِ ‌فِي ‌هَذَا ‌الأَمْرِ، لأَنَّ عِلْمَنَا مُقَيَّدٌ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ

Sesiapa yang tidak menghafal al-Quran, tidak menulis hadis – maka dia tidak boleh diteladani di dalam urusan ini (tasawwuf). Kerana ilmu kita terikat dengan Al-Kitab dan al-Sunnah.

Oleh itu kita dapat faham bahawa Hadis adalah panutan utama ulama-ulama tasawwuf yang awal. Cuma berlaku sebaliknya hari ni. Sebahagian kumpulan yang mendakwa mencebur diri di dalam tasawwuf telah mengabaikan aspek hadis sehingga tidak lagi menghiraukan sama ada ia sahih, hasan, dhaif ataupun palsu.

Bahkan, mereka mempertahankan yang Dhoif seperti Sahih. Mengabaikan yang Sahih dengan alasan yang Dhoif. Inilah musibah yang berlaku dalam pemikiran tasawwuf hari ini. Para ulama kita sentiasa memberikan teguran dalam penulisan dan ucapan-ucapan mereka.

Tasawwuf adalah jalan penyucian jiwa, tetapi apabila diambil tanpa disiplin daripada tokoh-tokoh seperti al-Imam al-Junaid rahimahullah, maka ia menyimpang daripada jalannya.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya “Kaifa Nata`amul Ma`al Sunnah al-Nabawiyyah” bercerita:

Kecacatan yang berlaku kepada ramai penceramah dan khatib di Masjid dalam kebanyakkan negara umat Islam ialah mereka menjadi seolah-olah “Pencari kayu api pada malam hari” (Mereka ambil semua tanpa membuat semakan terlebih dahulu). Tujuannya supaya dapat menyentuh hati orang awam dengan panutan hadis-hadis tanpa dia hiraukan ia sahih, ataupun hasan.

Sudah seringkali saya saksikan khutbah jumaat atau ceramah agama, yang mengandungi banyak hadis-hadis yang dhoif, bahkan terlalu Dhoif. Kadang-kadang, palsu pun ada.

Pernah terjadi, saya hadir dalam satu khutbah yang membincangkan isu Sirah Nabi. Ia membincangkan isu peribadi Nabi, kesucian perjalanan hidup baginda, kehebatan sikapnya serta keagungan akhlak baginda Nabi SAW. Satu tema yang sebenarnya sangat kaya dengan fakta-fakta kuat yang jelas daripada al-Quran dan hadis-hadis sahih.

Tetapi si Khatib tidak menyebutkan hadis sahih ataupun hasan melainkan 2 atau 3 sahaja. Kebanyakkan hadis yang dia sebutkan antara lemah, munkar ataupun palsu. Atau hadis yang tidak pernah ditemui asalnya. Yang ulama kata,

‌لا ‌خُطُم ‌لها ولا أزمّة

Tiada sebarang rujukan dan sumber.

Antaranya dia sebut:

-          Makhluk pertama yang diciptakan Allah ialah nur Muhammad

-          Allah menghidupkan semula mak ayah Nabi Muhammad kemudian kedua-duanya Islam atas tangan Nabi Muhammad.

-          Sesiapa yang diberi nama Muhammad maka telah wajib mendapat syafaat.

-          Demikian juga Kisah-kisah pelik berlaku ketika kelahiran Nabi

-          Dan sebagainya

Tetapi yang paling pelik ialah yang saya dengar pada isu kelebihan umat Nabi SAW. Iaitu hadis:

‌عُلَمَاءُ ‌أُمَّتِي ‌كَأَنْبِيَاءِ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Ulama umat aku adalah seperti para Nabi dalam kalangan bani Israil.

Hadis ini memang popular. Tetapi popular dengan kepalsuan. Bahkan dalam kitab-kitab Mustalah para ulama mengatakan ia adalah hadis palsu.

Tetapi si Khatib mahu mempertahankan kesahihannya dengan membawa kisah yang intinya ialah:

Imam Abu Hamid al-Ghazzali telah bertemu Musa di dalam mimpi atau alam roh. Lalu Kalimullah Musa bertanya: Siapa nama kamu? Al-Ghazzali menjawab: Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazzali al-Thuwsi… Nabi Musa berkata: Aku hanya tanya nama kamu, aku tak bertanya tentang nasab keturunan kamu. Al-Ghazzali berkata: Allah pernah bertanya kamu (musa), apa yang ada di tangan kananmu. Tetapi kamu tidak hanya menjawab: Tongkat, kemudian kamu diam. Tetapi kamu kata: ia adalah tongkat yang aku buat bersandar, aku memukul daun dengannya untuk kambing-kambingku dan masih ada lagi keperluan lain.

Khatib itu berkata lagi: Dengan itu, al-Ghazzali telah menang hujah melawan musa. Dengan itu si Khatib telah mensabitkan kesahihan hadis yang palsu. Dengan itu, kisah-kisah peliknya, kisah-kisah mimpi, kisah-kisah israiliyyat menjadi lebih laku daripada hadis-hadis sahih dan hasan.

(Inilah yang al-Qaradhawi sebut di dalam kitabnya) Wallahualam.

Sepertimana yang dikatakan al-Qaradhawi, penceramah seringkali mengambil cerita tanpa menyelidikinya terlebih dahulu. Asalkan dapat mennyentuh hati pendengar, diborong semuanya dalam satu bakul!

Ya, kisah Imam al-Ghazzali dengan Musa ini disebutkan dalam kitab. Disebut dalam Tafsir Ruhul Bayan pada jilid 1, halaman 248, tetapi kita tekankan bahawa setiap apa yang ada dalam kitab, belum tentu benar.

Mengapa mahu sebut hadis palsu “Ulama umat aku adalah seperti para Nabi dalam kalangan bani Israil.” Sedangkan telah ada hadis  sahih

إِنَّ الْعُلَمَاءَ ‌وَرَثَةُ ‌الْأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya ulama adalah perwaris para nabi. Dan para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, ambillah sepenuhnya.”

Kenapa perlu angkat Imam al-Ghazzali dengan dakwaan mimpi yang belum tentu benar. Sedangkan seluruh ulama telah bersepakat mengambil ilmu daripada beliau.

Al-Maududi berkata di dalam A Short History of the Revivalist Movement In Islam, hlm. 58.

“Al-Ghazālī telah berjaya membetulkan kesilapan ahli-ahli falsafah dan ahli kalam. Beliau  menjelaskan kepada orang Islam bahawa kepercayaan terhadap agama mereka bukanlah bergantung kepada hipotesis-hipotesis yang tidak rasional tetapi mesti bersandarkan kepada dasar-dasar yang teguh dan nyata.”

Al-Imam al-Ghazzali rahimahullah adalah permata agung dalam dunia Islam. Sehingga kita menggelarnya Hujjatul Islam. Namun sedih dan malangnya, apabila ada yang menganggap al-Ghazzali seperti tokoh yang khayal dan sentiasa bermain dengan istilah kesufian yang tiada makna.

Sehingga berlaku dalam hadis palsu ini. Menggunakan al-Ghazzali untuk mengangkat menjadi sahih. Ia adalah musibah di atas musibah.  

Owh, ada sebahagian kita kata; Kisah Imam Ghazali berhujah dengan nabi Musa itu berlaku di dalam mimpi. Maka tak ada salah terima mimpi.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلَاثٌ: مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ ‌الرَّجُلُ ‌فِي ‌يَقَظَتِهِ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ "

Mimpi itu ada tiga jenis: (1) Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam. (2) Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur. (3) Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.

(Hadis Sahih Riwayat Ibn Majah di dalam Sunan)

Jadi, ringkasnya mimpi ada 3 jenis:

1- Mimpi yang baik dan benar (al-ru’ya al-hasanah): Ia adalah apa yang disifatkan Rasulullah SAW sebagai satu bahagian daripada kenabian Nabi Muhammad SAW.

2- Mimpi yang buruk dan dusta (al-ru’ya al-sayyi’ah): Ia adalah permainan tidur oleh syaitan.

3- Mimpi disebabkan oleh adat bagi diri seseorang: Iaitu apa yang dilihat seseorang di dalam mimpi berkaitan apa yang dia disibukkan olehnya ketika dia sedang jaga. Contohnya, dia lapar dan teringin sangat nak makan MC D. lalu dia tidur, mimpi makan Mc D.

Oleh itu mimpi bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum syar’ie samada halal, wajib atau haram. Tambahan pula, ia tidak boleh dijadikan hujah ke atas diri sendiri atau orang lain. Hal ini kerana, orang biasa tidak mampu melepaskan diri daripada hasutan syaitan, justeru tidak boleh memastikan kesahihan takwilan mimpi yang dialaminya tersebut walaupun dia bermimpi berjumpa Rasulullah SAW.

Hanya mimpi para nabi dan rasul sahaja merupakan mimpi yang benar yang dijadikan sumber hukum serta merupakan hujah syarak, kerana mereka dilindungi Allah SWT dan terlepas daripada mainan syaitan.

Ada orang berhujah, tak begitu. Nabi menjadikan mimpi Abdullah bin Zaid dan Umar al-Khattab sebagai dalil hujah untuk lafaz-lafaz azan. Itu tandanya, mimpi selain Nabi juga boleh dijadikan hujah.

Saya katakan sepertimana ulama-ulama kita kata: Pensyariatan azan walaupun daripada mimpi para sahabat ia tetap tidak menjadi hujah. Mimpi Umar dan Abdullah bin zaid Radhiyallahuanhuma tidak menjadi hujah. Tetapi apabila mereka membawakan mimpi itu kepada Nabi yang merupakan pemutus hukum lalu baginda mengiyakan – makan ia termasuk hadis Nabi SAW.

Kita telah faham tentang maksud hadis Nabi. Iaitu:

كل ما صدر عن النبي صلى الله عليه وسلم غير القرآن الكريم، من قول، أو فعل، أو تقرير

Semua yang datang daripada Nabi selain al-Quran, sama ada ucapan, perbuatan dan iqrar.

Dalam bab ini, ia termasuk Iqrar.

WallahuAlam.