Hari ini kita akan berikan ulasan berkaitan hadis “abdul rahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak.” Adakah hadis ini benar? Ya, mungkin anda pernah dengar ustaz ustazah kita cerita kisah ini dari kecil. Tujuannya sangat baik, tapi mereka tidak sedar, jalan itu sangat bahaya!
Sebelum kita terus kepada perbincangan hadis. Kita fahami dulu 2 istilah-istilah ini supaya kita tak rasa berat nanti:

1- Hadis Sahih: ia adalah hadis yang terpenting. Ia menunjukkan kisah itu benar-benar datang daripada Rasulullah SAW. Penyampai-penyampai kisah itu adalah orang yang berintegriti dan dipercayai. Bukan setakat itu, penyampai itu dari kalangan orang yang mempunyai kekuatan ingatan dengan hafalan dan tulisan yang baik. Hadis-hadis itu pula tiada sebarang keganjilan dan kecacatan. Kiranya, hadis ini perfect dan ia benar-benar daripada Nabi Muhammad.

2- Hadis Dhaif: Ialah hadis yang lemah. Ia mempunyai pelbagai kecacatan. Dan kecacatan itu perlu diteliti sebelum diterima atau ditolak. Ia terbahagi 2 jenis. hadis dhoif ringan dan hadis dhoif berat. Hadis Dhoif ringan masih boleh dibincangkan tetapi hadis dhoif berat termasuk hadis yang ditolak. Hampir-hampir kita boleh kata ia bukan daripada Nabi SAW. Termasuk hadis Dhoif berat apabila ulama sebut perkataan: Munkar, Matruk dan Batil. Sepertimana yang anda akan temui dalam perbincangan ini. 

Setelah kita fahami istilah-istilah ini barulah kita terus kepada perbincangan. Semoga Allah mudahkan urusan kita di dalam memahami bab ini!

Hadis: 

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Aisyah menyatakan: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

قَدْ رَأَيْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ عَوْفٍ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ حَبْوًا

Aku telah melihat Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak.

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah mengatakan di dalam Majmu` al-Fatawa, jilid 11, muka surat 128:

كَلَامٌ مَوْضُوعٌ لَا أَصْلَ لَهُ؛ فَإِنَّهُ قَدْ ثَبَتَ بِأَدِلَّةِ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ أَنَّ أَفْضَلَ الْأُمَّةِ أَهْلُ بَدْرٍ ثُمَّ أَهْلُ بَيْعَةِ الرِّضْوَانِ وَالْعَشْرَةُ مُفَضَّلُونَ عَلَى غَيْرِهِمْ 

Ini adalah ucapan yang palsu, tiada asal baginya bahkan telah sabit pelbagai dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menyatakan kelebihan Ahli Badar, sahabat yang menyertai Bai`ah al-Ridhwan, dan 10 orang yang dijanjikan syurga.

Faktanya, Abdul Rahman termasuk dalam kesemua sifat-sifat berkenaan. Beliau salah seorang daripada 10 orang yang dijanjikan syurga, salah seorang daripada 8 orang terawal memeluk Islam, salah seorang daripada 6 orang yang menjadi Ahli majlis Syura yang dipilih oleh Umar al-Khattab bagi memilih khalifah selepasnya. Umar beralasan:

هم الذين توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو عنهم راض.

Rasulullah wafat dengan telah redha kepada mereka semua.

(Izzudin Ibn Athir, dalam Asadul Ghabah fi Ma`rifatis Sahabah. Jilid 2, halaman 99)

Abdul Rahman hadir dalam semua perang bersama Nabi – SEMUA! Badar, dia ada. Uhud, dia ada. Khandaq, dia ada! Bahkan, dalam perjanjian Ba`ah al-Ridhwan yang sangat agung, beliau hadir bersaksi untuk taat setiap kepada Rasulullah SAW. Siap mati untuk berjuang bersama Nabi.

Bahkan, dalam sahih Muslim, hadis 274 menyatakan Rasulullah pernah masbuq dalam satu solat. Baginda solat di belakang Abdul Rahman bin Auf. Abdul Rahman jadi Imam. Rasulullah jadi makmum. Selepas Abdul Rahman bagi salam, terkejut orang ramai kerana Rasulullah bangun untuk menyempurnakan rakaatnya. 

Begitu mulianya Abdul rahman bin Auf – tiba-tiba Ustaz kita, apabila ada cerita tentang Abdul Rahman bin Auf, mereka akan sebutkan “Dia masuk syurga kerana merangkak kerana kaya sangat.”

Adakah kita mahu kata; Abdul Rahman bin Auf merangkak kerana telah diazab terlebih dahulu, lantaran tidak amanah terhadap harta-hartanya, seperti yang berlaku kepada manusia terakhir yang masuk Syurga? Demi Allah, ini adalah ucapan yang benar-benar berbahaya!

Beliau telah bersedekah separuh hartanya pada zaman Nabi, bahkan separuh itu bukan sedikit. Sampai kepada 4000 dinar – jika kita convert dengan harga emas semasa, lebih RM 4 Juta , kemudian sedekah lagi 40 ribu Dinar (40 juta). 

Abdul Rahman juga menyediakan 500 kuda perang, 500 rahilah. Bahkan apabila beliau hampir meninggal dunia, beliau wasiatkan untuk memberi 400 dinar kepada setiap ahli badar yang masih hidup ketika itu. Bahkan dia menaja kewangan Ummahatul Mukmininan dengan jumlah yang sangat besar. 
Adakah orang ini yang mahu kita perkecilkan? Adakah orang ini yang kita mahu sebarkan bahawa dia masuk syurga dalam keadaan merangkak?

Baik, mari kita nilaikan status hadis ini secara terperinci. 

TAKHRIJ

Hadis ini dijumpai dalam rekod kitab-kitab hadis seperti: Kitab al-Musnad karya Imam Ahmad bin Hanbal, al-Tabarani di dalam Al-Mu`jam, Abu Nu`aim dalam Ma`rifat al-Sahabah dan Al-Hilyatul Awliya’. Demikian juga Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhu`at. 

Jangan terkejut dengan kenyataan ini. Kerana bagi ulama hadis, apabila mereka telah mendatangkan sesuatu hadis kemudian mereka datangkan pula sanad, maka mereka boleh berlepas diri. Kerana sanad itu telah memberi pencerahan tentang status hadis berkenaan walaupun perekod hadis tidak menyebutkan statusnya. Bahkan sebahagian mereka merekodkan hadis itu dengan tujuan untuk memberi tahu bahawa ia tidak sahih. 

Di dalam hadis ini, sanadnya ialah: Daripada Umarah, daripada Sabit daripada Anas bin Malik. 
Anda perlu ingat betul-betul sanad ini kerana kita akan bincangkannya, insyaAllah. 

STATUS

Di dalam kesemua rekod-rekod hadis, semuanya berlegar kepada seorang perawi yang bernama `Umarah bin Zazan al-Soidalani, seorang tokoh ilmuan daripada kalangan penduduk Basrah. Jadi kita kata Umarah ini adalah madar bagi hadis ini. 

Umarah adalah perawi Dhoif yang dinilai oleh ramai ulama hadis. Bukan sekadar itu, tahap kedhaifannya kritikal – apabila hanya dia seorang sahaja yang meriwayatkan hadis itu, ia tidak boleh diterima.

Di dalam kitab Tafsir oleh Imam al-Qurthubi, jilid 3, halaman 420, beliau menyebutkan perkataan ini setelah beliau mempertikaian kisah ini: 

وَقَالَ الْبُخَارِيُّ: رُبَّمَا اضْطَرَبَ حَدِيثُهُ. وَقَالَ أَحْمَدُ: ‌يَرْوِي ‌عَنْ ‌أَنَسٍ ‌أَحَادِيثَ ‌مَنَاكِيرَ، وَقَالَ أَبُو حَاتِمٍ الرَّازِيُّ: لَا يُحْتَجُّ بِهِ. وَقَالَ الدَّارَقُطْنِيُّ: ضَعِيفٌ.

Al-Bukhari berkata: Boleh jadi hadisnya Mudhtarib, Ahmad berkata: Umarah meriwayatkan hadis-hadis Munkar yang dikatakan daripada Anas bin Malik. Abu Hatim al-Razi berkata: Umarah tidak dijadikan hujah. Al-Daraquthni berkata: Dhoif. 

Ibn Jauzi di dalam bukunya al-Maudhu`at membawakan kisah ini. Kemudian dia bawakan juga pendapat para ulama terhadap hadis ini. Katanya:

قَالَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ: هَذَا الحَدِيث  كَذِبٌ مُنْكَرٌ. قَالَ وَعمارَة يَرْوِي أَحَادِيث مَنَاكِير. وَقَالَ أَبُو حَاتِم الرَّازِيّ: ‌عُمَارَة ‌بْن ‌زَاذَانَ ‌لَا ‌يحْتَج ‌بِهِ، وَقَدْ روى الْجَرَّاحِ بْن منهال إِسْنَادًا لَهُ عَن عبد الرحمن بْن عَوْف فَإِن النَّبِيّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " يَا ابْن عَوْف إِنَّكَ من الْأَغْنِيَاء، وَإنَّك لَا تدخل الْجَنَّة إِلا زحفا فأقرض رَبك يُطلق قَدَمَيْك ".قَالَ النَّسَائِيُّ: هَذَا حَدِيث مَوْضُوع، والجراح مَتْرُوك الحَدِيث. وَقَالَ يَحْيَى لَيْسَ حَدِيث الْجراح بشئ. وَقَالَ ابْن الْمَدِينِيّ: لَا تكْتب حَدِيثه. وَقَالَ ابْن حِبَّانَ: كَانَ يكذب.وَقَالَ الدَّارقطني: روى عَنْهُ ابْن إِسْحَاق فَقلب اسْمه فَقَالَ منهال بْن الْجَرَّاحِ وَهُوَ مَتْرُوك.

Imam Ahmad berkata: Hadis ini bohong lagi munkar. Umarah meriwayatkan hadis-hadis yang munkar. Abu Hatim al-Razi berkata: Umarah bin Zazan tidak dijadikan hujah. Hadis ini juga ada diriwayatkan daripada al-Jarrah bin Minhal dengan sanadnya daripada Abdul Rahman bin Auf. Dalam hadis itu, Rasulullah berkata: “Wahai Ibnu Auf, kamu ini orang kaya. Kamu tidak akan masuk syurga melainkan dengan merangkak. Bersedekahlah nescaya Tuhanmu akan memelihara kedua-dua kakimu.” Al-Nasaie berkata: Hadis ini palsu. Perawi bernama al-Jarah ini ialah Matrukul Hadis. Yahya (bin Ma`in) berkata: Hadis Jarah tiada apa-apa nilai. Ibn Madini berkata: Tidak ditulis hadisnya. Ibn Hibban berkata: Dia pernah menipu. Al-Daraquthni berkata: Ibn Ishaq pernah meriwayatkan daripadanya tetapi menukar namanya dengan Minhal bin al-Jarrah – beliau ialah seorang yang Matruk.”

Ibn Jauzi berkata lagi: 

وبمثل هَذَا الحَدِيث الْبَاطِل تتَعَلَّق جهلة المتزهدين ويرون أَن المَال مَانع من السَّبق إِلَى الْخَيْر وَيَقُولُونَ إِذَا كَانَ ابْن عَوْف يدْخل الْجنَّة زحفا لأجل مَاله كفى ذَلِكَ فِي ذمّ المَال، والْحَدِيث لَا يَصح، وحوشى عبد الرحمن الْمَشْهُود لَهُ بِالْجَنَّةِ أَن يمنعهُ مَاله من السَّبق لِأَن جمع المَال مُبَاح. وَإِنَّمَا المذموم كَسبه من غير وَجهه وَمنع الْحَقِّ الْوَاجِب فِيهِ، وَعبد الرَّحْمَنِ منزه عَنِ الْحَالين. وَقَدْ خلف طَلْحَة ثلثمِائة حمل من الذَّهَب وَخلف الزُّبَيْر وَغَيره، وَلَو علمُوا أَن ذَلِكَ مَذْمُوم لأخرجوا الْكل. وَكم قاص يتشوق بِمثل هَذَا الحَدِيث يحث على الْفقر ويذم الْغنى، فيالله در الْعلمَاء الَّذين يعْرفُونَ الصَّحِيح وبفهمون الاصول.

Hadis-hadis seumpama ini adalah dari kejahilan orang-orang yang mahu berzuhud. Mereka berpandangan bahawa harta dapat menghalang manusia daripada berlumba-lumba melakukan kebaikan. Mereka mendakwa: “Apabila Ibn Auf masuk syurga dalam keadaan merangkak disebabkan hartanya, cukuplah itu menunjukkan kekejian harta.” Sedangkan hadis itu tidak sahih! Abdul Rahman telah dijanjikan masuk syurga, ia cukup untuk menyatakan bahawa harta tidak menghalangnya daripada berumba-lumba melakukan kebaikan. Mengumpulkan harta adalah perkara yang harus. Yang kejinya adalah apabila harta tu diambil daripada jalan yang salah serta tidak mengeluarkan kewajipannya. Sedangkan Abdul Rahman bin Auf telah suci daripada kedua-dua hal ini. Talhah pun telah mengumpulkan 300 Humal emas, al-Zubair dan lain-lain juga seperti itu. Sekiranya mereka tahu ini perbuatan keji, nescaya mereka akan membelanjakan semuanya. Betapa banyak tukang cerita yang menyebarkan hadis-hadis seumpama ini dengan tujuan menggalakkan kefakiran dan kejian terhadap kekayaan. Semoga Allah meramaikan ulama yang mengetahui kebenaran serta memahami usul.
 
Al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani berkata di kitab al-Qaul al-Musaddad (halaman 25):

فَإِنَّهُ يكفينا شَهَادَة الإِمَام أَحْمد بِأَنَّهُ كذب وَأولى مجاملة أَن نقُول هُوَ من االْأَحَادِيث الَّتِي أَمر الإِمَامِ أَحْمَدَ أَنْ يُضْرَبَ عَلَيْهَا فَإِمَّا أَنْ يَكُونَ الضَّرْبُ تُرِكَ سَهْوًا وَإِمَّا أَنْ يَكُونَ بَعْضُ مَنْ كَتَبَهُ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ كَتَبَ الْحَدِيثَ وَأَخَلَّ بِالضَّرْبِ وَاللَّهُ أَعْعْلَمُ

Cukuplah bagi kita persaksian Imam Ahmad bahawa kisah itu bohong. Lebih utama kita katakan, “Kisah ini termasuk di antara hadis-hadis yang diperintahkan oleh Imam Ahmad untuk dibuang tetapi ia tidak dibuang kerana berlaku kelupaan, boleh jadi ia adalah termasuk sebahagian rekod Abdullah (anak Imam Ahmad) kemudian dia lupa untuk membuangnya. Wallahualam.”

Jadi, kesimpulannya kisah ini tidak sahih. Bahkan ia bohong dan palsu. Antara ulama lain yang menyatakan hadis ini tidak sahih ialah al-Iraqi di dalam al-Taqyid wal Idhah,Syaikh Syuaib al-Arnaout dalam Takhrij al-Musnad, dan Al-Sakhawi di dalam Al-Ajwibah dal-Mardhiyah.

Tidak salah menjadi kaya. Dan kekayaan yang mulia tidak akan menjauhkan manusia daripada syurga.
Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, diriwayatkan sebuah hadis:

Ibnu Mas’ud berkata: “Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: 

لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ وَرَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا

“Tiada hasad melainkan pada dua orang. Pertama, orang yang Allah telah dikurniakan kepadanya harta lalu digunakan sepenuhnya pada tempat yang sebenarnya dan (yang kedua) seorang yang Allah telah kurniakan kepadanya hikmah lalu dia membuat keputusan dengannya dan mengajarkannya”.