Sebenarnya saya tak berapa minat nak ulas isu ni, sebab dah ramai ustaz-ustaz kita yang memberikan respon terhadap video ini. 

Tapi masalah saya ialah, setiap hari ramai orang yang PM di facebook minta saya ulas juga. 

Sebab tu, bagi memberikan sedikit perbezaan, saya akan bahaskan video ini satu per satu daripada kalam Ustaz Muhaizad sendiri. 

Baik,

Daripada video ni, kita dapat faham beberapa perkara: Kita dapat faham Ustaz dakwa 5 perkara.

1. Klhilaf ulama pada solat tarawih 8 rakaat. Katanya, ada ulama yang kata dapat pahala, ada yang kata tak dapat. 

2. Imam Syafii kata: Tak dapat pahala. Hanya dapat pahala Qiyamullail.

3. Sembahyang yang tak cukup 20 tak dipanggil sembahyang taraweh. 

4. Hadis kata 8 itu Imam Bukhari sebut dalam bab solat tahajud Nabi. Bukan dalam bab solat tarawih. 

5. Ini perkara khilaf. Baik buat 20, tak ada khilaf apa-apa. 

Ini ulasan saya. Dengaq betui-betui.

1. Benarkah ulama khilaf pada pahala solat taraweh 8 rakaat? 

Sebelum menjawab soalan ini, kita perlu tahu tentang hakikat solat Tarawih dulu. Apakah yang dimaksudkan dengan Solat Tarawih? 

Di dalam Ensiklopedia Fiqh Kuwait, jilid 24, halaman 123. Dia sebut: "Para ulama fikah berpendapat: Tarawih ialah Qiyam Ramadhan. Oleh itu, paling bagus jika memenuhkan sebanyak-banyaknya malam dengannya. Kerana ia adalah Qiyamulail."

Ha tudia! Jelas dan terang. 

Kenyataan ini dirujuk daripada pendapat para ulama pelbagai mazhab dalam kitab mereka seperti Maraqi al Falah, al Ikhtiyar, Hasyiah al-Dusuqi, Hasyiah Jumal, Mughni Muhtaj dan banyak lagi. 

Oleh itu, difahami bahawa Solat Tarawih ialah ialah solat Qiyamulail, cuma ia dilakukan pada bulan Ramadhan. Maka, ia membawa hukum yang sama dengan Qiyamullail. 

Disebut Qiyam Ramadhan. 

Mufti Jordan ketika menjelaskan isu Tarawih Mazhab Syafii, beliau berkata:

ويثاب المصلي بقدر ما صلى من التراويح، فإن صلى  أقل من عشرين ركعة، فيثاب بقدر صلاته، ولا يجوز التشدد والإنكار على من صلى أقل من عشرين ركعة، ومن أراد أن يصلي عشرين ركعة، فله أن يصلي منفرداً بعد انتهاء الجماعة.

Setiap orang akan mendapat pahala atas kadar solat tarawihnya. Jikapun dia solat kurang daripada 20 rakaat, maka dia dapat pahala dengan kadar solatnya. Sungguh tak patut untuk berlebih lebihan dan membantah orang yang solat kurang 20 rakaat. Siapa yang mahu solat 20, dia boleh sambung solat sendiri selepas selesai solat jemaah. 

Tamat terjemahan. 

Hang pi carilah mana ulama pun. Semua mereka berdalilkan pensyariatan Solat tarawih daripada Hadis Nabi yang direkodkan oleh Imam al Bukhari: 

مَن قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا واحْتِسَابًا، غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ.
Sesiapa yang Qiyam Ramadhan dengan penuh iman dan Penuh ikhlas kepada Allah, maka akan diampunkan semua dosanya yang telah lalu. 

Dakwàan 2. Kata Ustaz Muhaizad: Imam Syafii kata hanya dapat pahala Qiyamullail. 

Ustaz, tang mana Imam al Syafii kata? Tolong bantu saya sat. Boleh saya tambah ilmu. 

Sekiranya kita faham dengan konsep Qiyam Ramadhan ialah Qiyamullail, maka kita akan mengatakan sesiapa yang solat tarawih, 8, 10, 20, 36 atau 38, semuanya mendapat pahala Qiyamullail. Bukan hanya 8.

3. Benarkah sembahyang yang kurang 20 tidak dikira tarawih? 

Perkataan Tarawih ialah perkataan baru. Ulama bersepakat bahawa ia adalah Qiyam Ramadhan. Bahkan mereka juga sepakat solat kurang 20 rakaat mendapat pahala tarawih. 

Apa yang berbeza ialah mengambil ijtihad bilangan terpilih dalam solat berjemaah tarawih. 

Sebab, solat tarawih tidak seperti kebiasaan solat sunat Qiyamullail pada waktu lain. Biasanya dilakukan di rumah atau di masjid bersendirian. Tetapi tarawih boleh dilakukan berjemaah. 

Jadi, menetapkan 1 pendapat bagi memudahkan jemaah adalah sangat perlu. 

Jumhur ulama dan mazhab al Syafii berpendapat bahawa solat jemaah tarawih itu didirikan sebanyak 20 rakaat. 

4. Hadis Aisyah hanya sebut tentang Qiyamullail, bukan tarawih. 

Ini adalah dakwaan yang bercanggah dengan kefahaman para ulama. Para ulama membincangkan hadis ini bahkan dalam Mazhab al Syafii. Tapi tidak pula mereka kata ini hanya perbincangan Qiyamullail, bukan Tarawih. 

Ini fatwa yang sangat aneh. 

Dr Muhammad Dhiya' al Rahman Al-Syaikh Abdullah al Mubarakpuri berkata: 

"Tarawih, Qiyam Ramadhan, Solat Malam, Solat Tahajud pada bulan ramadhan ialah perkara yang sama. Ia merupakan nama bagi solat yang sama. Tidak ada solat tahajjud di bulan Ramadhan melainkan Tarawih, kerana tidak sabit daripada riwayat yang sahih mahupun dhaif bahawa Nabi Muhammad bersolat pada malam-malam Ramadhan dengan dua jenis solat. Satu tarawih, satu tahajud."

Tamat terjemahan. 

5. Ini khilaf, baik buat 20. 

Saya setuju bahawa ini perkara khilaf. Dan saya juha setuju jika orang yang dah biasa buat 20 untuk terus buat 20. 

Tetapi orang yang buat 8 juga mempunyai sandarannya yang tidak ada percanggahan. 

Khilaf ulama hanya pada bilangan dalam jemaah sepertimana yang dibuat oleh Umar. Maka setiap orang beribadah atas kemampuan dan tahap kefahaman masing-masing. 

----
onus!
---
Saya nak bagi penjelasan. Mengapa ada masjid di seluruh dunia yang buat solat Tarawih 8 rakaat, sedangkan jumhur mazhab mengatakan 20? 

1. Mereka sangat berpegang pada hadis Aisyah yang mengatakan:

“Rasulullah SAW tidak pernah melebihi sebelas rakaat sama ada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini memberikan had. Maka berpada dengan had ini sangat disukai oleh mereka. 

----
Secara jelasnya, perbincangan dalam bab ini sangat luas. Saya lebih berkecenderungan solat dengan kadar yang mampu. 

Jika jemaah mampu 20, buatlah 20 sepertimana kebanyakan masjid di Malaysia dan nusantara

Jika jemaaah mampu 8, buatlah 8 sepertimana kebanyakan tempat di Mesir dan tanah Arab.

Jika jemaah mampu 10, buatlah 10 sepertimana yang dibuat di Negeri Sembilan. 

Semoga akhirnya, Allah menerima amalan kita.