Alhamdulillah kita sudah dengar dan tonton satu video yang agak panjang daripada Ustaz Zainul Asri hafizahullah. 

Secara ringkasnya, video itu menjelaskan beberapa perkara:

1- Wali Abdal bertanya Khadhir tentang orang yang lebih tinggi darjatnya berbanding beliau. Khadir jawab pernah lalu dia cerita tentang seorang budak kata dia belajar daripada al-Razzaq. Dan dia tahu yang bertanya itu adalah Khadhir. 

2- Nabi Khadhir mempunyai kelebihan tahu siapakah yang diangkat sebagai wali dan dilepaskan daripadanya. 

3- Guru Ustaz Zainul Asri pesan: Jika kita perlukan pertolongan segera, orang nak kepung atau bunuh, panggil Bulyan ibni Mulkan. Dia akan datang. Datang untuk menyaksikan, kita nak kata apa tentang dia. 

Ini adalah penjelasan kita. 

1. Jika anda menemui kata-kata seperti ini, ia adalah kata-kata yang sesiapapun boleh mendakwanya. 

Sama ada orang itu berserban, mulut sentiasa berzikir, berjubah, budak tak belajar, bahkan orang gila dan tidak siuman. 

Kerana kata-kata ini tidak boleh dibuktikan dengan rekod-rekod akademik yang boleh dinilai dengan fakta dan hujah.

Ia adalah ucapan yang disebutkan tanpa dikuatkan dengan sebarang dalil dan hujah. Ia hanya perlukan kepercayaan dari orang yang mendengar. Kepercayaan dengan sepenuh hati. Kepercayaan infiniti.

Jika anda seperti saya, yang tidak melihat serban dan jubah tetapi melihat konten apa yang disebutkan, InsyaAllah anda tidak akan terpedaya. 

Guru-guru saya di Al-Azhar, majoriti tidak berserban dan berjubah. Kebanyakan mereka hanya memakai baju kemeja dan kod. Kepala dibiarkan kosong tanpa pelapik.

Bukanlah bermaksud yang berjubah dan berserban itu tidak baik. Tetapi kita nak tekankan bahawa sekadar pakaian tidak menjadikan ucapannya benar. 

Ia juga boleh berlaku kepada saya. Iaitu, anda boleh percaya kata-kata saya. Dan anda juga boleh menolaknya. 

2. Kepercayaan tentang Khadhir masih hidup adalah kepercayaan yang tidak berasas. Anda boleh rujuk penjelasan saya dalam video di atas. Saya sudah terangkan hujah ulama kita daripada sumber al-Quran, al-Sunnah dan akal sihat. Anda rujuah di situ.

3. Jika anda sudah menonton video berkenaan, anda akan dapat kesimpulan bahawa Nabi Khadhir telah meninggal dunia. Lalu, semua cerita yang menyebutkan beliau masih hidup adalah kisah-kisah tidak betul. Diada-adakan. Atau penulisnya terkena halusinasi. 

4. Oleh itu, kisah Khidhir dan pertemuan dengan budak itu adalah tidak benar.

5. Berkenaan istilah Wali Allah SWT,

Imam al-Syaukani menyatakan di dalam kitabnya, mereka yang dihitung sebagai wali Allah mestilah beriman kepada Allah SWT, malaikat-Nya, kitab yang diturunkan-Nya, para rasul dan takdir yang baik dan buruk seperti yang diperintah oleh Allah SWT. Meninggalkan apa yang dilarang serta memperbanyakkan ketaatan kepada Allah SWT maka mereka ini digelar sebagi wali Allah. Dan sesiapa yang bersikap sebaliknya maka mereka itu bukanlah daripada wali Allah, bukanlah tergolong di dalam naungan rahmaniah (rahmat Allah) bahkan mereka tergolong di dalam syaitaniah (tipu daya syaitan). (Lihat Qatr al-Wali ala Hadis al-Wali, 1/256)

Bagaimana dalam kisah yang disebutkan Ustaz Zainul Asri hafizahullah, seorang wali yang tidak menuntut ilmu sedangkan telah datang pelbagai perintah daripada Nabi untuk menuntut ilmu? Beliau bercanggah dengan ajaran rasul! Adakah layak digelar wali Allah?

6. Apabila kita dalam kesusahan, kita minta tolong Allah. Bukan seru nama Bulyan bin Mulkan. Seorang manusia yang telah mati. 

Allah berfirman di dalam surah Yunus, ayat 106, 107:

وَلَا تَدْعُ مِن دُونِ اللَّـهِ مَا لَا يَنفَعُكَ وَلَا يَضُرُّ‌كَ ۖ فَإِن فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِّنَ الظَّالِمِينَ . وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ‌ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ 

Jangan kamu berdoa kepada selain Allah yang sebenarnya tidak akan memberikan sebarang manfaat serta mudarat sekiranya kamu tetap melakukannya, nescaya kamu adalah orang yang ZALIM! Sekiranya Allah timpakan kesusahan kepadamu, tidak ada yang boleh menyingkapnya kecuali Allah! 

Dalam ayat ini jelas, apabila kita kesusahan, kita disuruh minta kepada Allah! Bukan kepada Bulyan bin Mulkan! Atau syaikh-syaikh ghaib. Itu ajaran yang salah dan bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah.

8. Apakah kita merasa lebih baik daripada Rasulullah dan para sahabat? 

Ketika baginda dikepung dan hampir terbunuh dalam perang Uhud, beliau tidak menyeru Bulyan bin Mulkan! 

9 orang sahabat Nabi, 7 Ansar 2 Muhajirin melindungi Rasullah. 7 ansar itu Syahid! Di mana Bulyan bin Mulkan? 

Talhah bin Ubaidillah  bertempur sehingga putus tangannya kerana melindungi Rasulullah! Di mana Bulyan bin Mulkan?

Pada ketika itu Tiada Bulyan bin Mulkan. Tiada Khadhir. Tetapi yang ada adalah pejuang-pejuang seperti Abu Talhah al-Ansari. 

Rasulullah berkata: "Suara Abu Talhah di tengah pasukan lebih menakutkan kaum Musyrikin daripada serombongan pasukan!"

Adakah anda nak kata, Rasulullah tidak lebih tahu berbanding wali-wali anda? Wali-wali anda tahu bahawa ketika itu hanya perlu menyeru Bulyan bin Mulkan! 

Sumpah! Ini berlebih-lebihan dalam mengagungkan Nabi Khadhir alaihis salam!

9. Kemudian, dalam kisah Ustaz Zainul Asri ini, budak itu kata  "Kamibtak mengaji dengan Syaikh Abdul Razaq, kami mengaji dengan Al Razaq" adalah ucapan-ucapan puak sufi yang melampau. 

Saya teringat kisah Khurafat masa di Mesir dahulu. Seorang rakan saya datang bercerita tentang kisah ini.  Waktu mula-mula sampai di Mesir pada tahun 2009.

Tentang seorang senior yang lulus tanpa masuk kelas dan mengulangkaji pelajaran. Dia hanya banyak berzikir. Lalu pada malam exam, Rasulullah hadir dan bantu ajar dia. Akhirnya dia lulus cemerlang.

Kisah ini tidak dapat dibuktikan benar. Tapi kesannya, sangat jelas. 

Sahabat saya yang cerita kisah ini, Dia jadi seorang pemalas, bahkan kelas pun tak datang. Sehingga subjek yang dia perlu belajar pun hanya diketahui beberapa hari sebelum ujian. Itupun untuk dapatkan kad menduduki peperiksaan. 

Dia tak pernah naik tahun. 
Hampir 4 tahun di Mesir, tetap di tahun 1.

Akhirnya saya dan kawan-kawan jumpa dia dan nasihatkan, baliklah. Kasihanilah mak ayah yang dok tanggung setiap bulan. Akhirnya dia pun pulang tanpa sebarang sijil. 

Itu kisah nyata.

Orang yang bercerita, ya ikut sedap mulut! Biar orang terlopong dan ternganga. Tapi sebenarnya ia merosakkan masyarakat! Ia merundumkan kemajuan umat. 

Awak lihat perjuangan ulama kita. Mereka membina pusat pengajian, bina pondok, bina sekolah, bina universiti. Dengan tujuan memandaikan umat dengan ilmu. 

Bukan menambahkan kejahilan demi kejahilan! 

6lWali Allah bukanlah orang-orang bodoh dan tak mahu belajar. Tetapi mereka adalah orang yang beriman dan bertaqwa. 

Firman Allah:

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّـهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿٦٢﴾ الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ ﴿٦٣﴾

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (62) (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (63)

(Surah Yunus, 62-63)