Lihat nota sebelum ini: Cubaan Mengelirukan Terhadap Dakwah Nabi SAW (Klik)
_____________

Sambungan....

Manakala pengingkaran mereka teradapan kebangkitan (al-Ba`s) setelah mati, mereka hanya dapati itu sebagai perkara yang menghairankan, pelik serta jauh daripada pemikiran akal. 

Mereka mendakwa:

أَإِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَامًا أَإِنَّا لَمَبْعُوثُونَ (16) أَوَآبَاؤُنَا الْأَوَّلُونَ

Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan dibangkitkan hidup semula? "Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan dibangkitkan hidup semula)?

(Al-Saffat: 16-17)

Mereka juga berkata:

ذَلِكَ رَجْعٌ بَعِيدٌ

Itu adalah cara kembali yang jauh (dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur tidak dapat diketahui lagi)

(Qaf: 3)

Mereka berkata pula dengan cara yang bersifat ejekan (al-Istighrab):

هَلْ نَدُلُّكُمْ عَلَى رَجُلٍ يُنَبِّئُكُمْ إِذَا مُزِّقْتُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ إِنَّكُمْ لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ (7) أَفْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَمْ بِهِ جِنَّةٌ

"Mahukah, kami tunjukkan kepada kamu seorang lelaki yang memberitakan kepada kamu: ` (Bahawa apabila kamu dihancurkan sehancur-hanurnya sesudah mati), sesungguhnya kamu akan dihidupkan semula dalam bentuk kejadian yang baru? '"Adakah ia berdusta terhadap Allah, atau ia kena penyakit gila?"

(Saba’: 7-8)

Penyair mereka juga berkata:

أَمَوتٌ ثُمَّ بَعثٌ ثُمَّ حَشرٌ        حَدِيثُ خُرَافَةٌ يا أم عمرو
Sama ada kematian kemudian kebangkitan kemudiaan pengumpulan,
Satu cerita khurafat wahai Ummu Amr!

Apa yang mereka lihat dengan penglihatan mereka sebenarnya telah menyanggahi dakwaan mereka. Seorang yang zalim mati tanpa diberi apa-apa balasan, orang yang kena zalim mati tanpa dapat mengambil semula hak daripada orang yang menzaliminya. Orang yang baik lagi soleh mati sebelum mendapat balasan pahala dan kebaikannya. Perosak yang jahat mati sebelum diazab segala kejahatan perbuatannya. Sekiranya tidak ada kebangkitan, kehidupan serta balasan terhadap orang mati maka akan samalah kedua-dua kelompok itu. Bahkan, orang yang zalim dan jahat akan lebih bahagia sedangkan ini tidak boleh diterima akal. Tidak juga dapat difikirkan bahawa Allah akan membina aturan yang buruk seperti itu. 

Allah berfirman:

أَفَنَجْعَلُ الْمُسْلِمِينَ كَالْمُجْرِمِينَ (35) مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ (36)

Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar)? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?

(Al-Qalam: 35-36)

Juga firman Allah:

أَمْ نَجْعَلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَالْمُفْسِدِينَ فِي الْأَرْضِ أَمْ نَجْعَلُ الْمُتَّقِينَ كَالْفُجَّارِ

Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa?

(Sad: 28)

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.

(Al-Jasiyah: 21)

Daripada sudut jauh daripada pemikiran akal pula, Allah menyanggahi mereka dengan firman-Nya: 

أَأَنْتُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمِ السَّمَاءُ بَنَاهَا

(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!

(Al-Nazi`at: 27)

Firman Allah juga:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَمْ يَعْيَ بِخَلْقِهِنَّ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى بَلَى إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya - berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Al-Ahqaf: 33)

Firman Allah juga: 

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ النَّشْأَةَ الْأُولَى فَلَوْلَا تَذَكَّرُونَ

Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).

(Al-Waqi`ah: 62)

Allah menjelaskan bahawa ia adalah kemampuan yang diketahui secara akal dan adat. Mengembalikan ia kepada bentuk asal adalah lebih mudah bagi Allah. Allah berfirman:

كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُعِيدُهُ

sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi;
(Al-Anbiya’: 104)

Seperti itu juga Allah berfirman: 

أَفَعَيِينَا بِالْخَلْقِ الْأَوَّلِ 

(Setelah mereka melihat dan memerhatikan makhluk-makhluk yang Kami ciptakan itu) maka adakah Kami telah lemah dengan ciptaan yang pertama itu (sehingga Kami tidak dapat mengadakannya semula? Tidak! Dan merekapun tidak mengingkari kekuasaan Kami).

(Qaf: 15)

Demikianlah sanggahan terhadap segala keraguan yang dilemparkan kepada orang yang berakal dan berfikir. Tetapi mereka terus memecahbelah, bongkak kerana mahu diangkat di atas muka bumi serta dilihat tinggi oleh makluk. Lalu mereka kekal di dalam kesesatan.

3- Menghalang Orang Ramai daripada Mendengar al-Quran serta Membandingkan dengan Cerita Orang Dahulu

Para musyrikun menghalang orang ramai mendengar al-Quran serta mempelajari dakwah Islam dalam setiap aspek. Mereka menghalang manusia, membuat rusuhan, kebisingan, menyanyi serta bermain-main. Apabila mereka melihat Nabi SAW menyampaikan usaha dakwah atau melihat Nabi bersolat dan membaca al-Quran.

Allah berfirman:

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ

Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!"

(Fuṣilāt: 26)

Sehingga Nabi tidak mampu menyampaikan bacaan al-Quran di dalam kumpulan mereka malainkan setelah hujung tahun kelima kenabia. Itu juga dengan cara yang mengejut, iaitu mereka tidak menyedari tujuan baginda sebelum memulakan bacaan.

Al-Nadhr bin al-Hāris, salah seorang daripada syaitan Quraisy pergi ke Hiyarah. Di sana dia mempelajari cerita-cerita tentang raja-raja Parsi, cerita Rostam dan Esfandiyār. Apabila Rasulullah duduk dalam satu majlis untuk menyampaikan peringatan Allah dan amaran tentang pembalasan-Nya, maka al-Nadhr akan menyusul dan berkata: “Demi Allah, Muhammad tidak boleh menandingiku dalam bercerita.” Kemudian dia bercerita kepada mereka tentang kisah-kisah Raja Parsi, Rostam dan Esfandiyār. Kemudian dia berkata: “Dengan apakah Muhammad lebih baik ceritanya daripadaku?”

Dalam riwayat oleh Ibn Abbas menggambarkan bahawa al-Nadhr telah membeli beberapa orang penyanyi wanita. Pantang dia mendengar ada lelaki yang cenderung kepada Muhammad maka dihantarnya salah seorang penyanyi itu untuk menjamu makan minum lelaki berkenaan serta mendendangkan lagu-lagu untuknya. Agar hilanglah kecenderungan kepada Islam. Terhadapnya, Allah menurunkan firman-Nya:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ

Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah…

(Luqman: 6)